Friday, December 16, 2011

sharing is loving

Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih.
Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.
Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.
Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full-time-house-wife" tu, meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi.
Alangkah ruginya kita menpunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim". Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia. Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang?
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu; menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah, mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya, menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik - yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu. Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya. Tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di kafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti. Sebab kita sudah kenyang.
Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.
Amalkanlah wahai suami!

Perkahwinan itu sesuatu yang mulia di sisi Allah S.W.T kerana bertujuan meramaikan umat Muhammad S.A.W di atas muka bumi ini. Bukan itu sahaja, perkahwinan itu juga suatu proses untuk kita membantu antara satu sama lain.
Benar, perkahwinan itu satu ibadah dan ganjaran pahala namun ia perkahwinan juga boleh mengundang dosa. Bak kata Bro Hamka penulis blog Kereta Mayat kita tak mampu lari dari dosa dalam dunia sekarang ni. Kiri, kanan, depan belakang semuanya dosa. Nauzubillah.
Tetapi sedarkah kita bahawa perkahwinan itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah?
Perkahwinan itu bukan hanya berlangsung sehari di hari pernikahan dan walimatulurus yang memerlukan belanja puluh-puluh ribu namun perkahwinan itu adalah selepas hari pengantin dirai bagai raja sehari.
Jika sebelum ini kita hanya hidup bujang tetapi tiba-tiba ada manusia asing yang masuk kedalam hidup kita.
Jika sebelum ini kita hanya hidup dalam kelompok keluarga kita, namun setelah berkahwin kita perlu hidup dalam kelompok keluarga lain yang mungkin budayanya amat jauh berbeza dengan budaya hidup kita sebelum ini.
Jika sebelum ini kita masak untuk seorang makan, selepas berkahwin kita perlu masak untuk dua orang makan.
Entah berapa banyak "jika" untuk kita senaraikan.
Pendek kata perkahwinan itu suatu perkara yang memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Jika boleh biarlah perkahwinan yang kita bina itu berkekalan hingga ke taman-taman syurga kelak.
Tetapi mengapa dikatakan dosa dalam perkahwinan?
Kita memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru. Oleh sebab itu, kita perlu benar-benar bersedia. Jika tersilap langkah pasti akan mengundang dosa walaupun hakikatnya perkahwinan itu adalah salah satu cara untuk mendapatkan pahala.
Memandang wajah suami atau isteri pun sudah pahala apatah lagi jika senyum. Bab dosa dan pahala memang urusan Allah S.W.T, kita yang makhluk ini haruslah beringat dan berjaga-jaga.
Jika perempuan yang tidak menjaga dirinya dari segi aurat dan sebagainya, si suami yang terpaksa menanggung dosa. Jika si isteri meninggikan suara pada suaminya, itu juga satu dosa.
Oleh itu, jika kita masih belum benar-benar bersedia, jangan cuba dekati perkahwinan. Memang ada yang berkata:
"Kalau nak tunggu betul-betul sedia memang tak kahwinlah sampai ke tua."
Ada juga yang berkata:
"Sedia itu datang seiring dengan niat kita untuk berkahwin."
Sedia itu merujuk kepada apa?
Ilmu rumahtangga?
Ilmu Agama?
Persediaan mental dan fizikal?
Semua aspek kita perlu bersedia. Paling penting adalah ilmu bagaimana kita mahu melayarkan bahtera rumahtangga.
Rumahtangga dan keluarga bagaimana yang kita mahukan?
Adakah keluarga yang bercirikan Islam pada dasarnya atau keluarga yang hanya Islam pada nama?
Itu perlu ditanya pada diri sendiri.
Rumahtangga yang bagaimana kita mahukan?
Cuba renungkan dan fikirkan dalam-dalam.
"Orang-orang yang enggan menikah kerana hendak menghindari beban tanggungjawab adalah orang-orang yang tersesat. Sebab perasaan takut memberi nafkah menjadikan iman seseorang itu cacat." (Imam Hasan al-Banna)
Firman Allah S.W.T:
" Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yg bertaqwa." (Surah Thaha: Ayat 132)"
Tetapi jangan pula kita takut untuk menikah kerana pernikahan itu adalah sunnah Rasulullah S.A.W. Menyempurnakan perkahwinan ibarat menyempurnakan sebahagian daripada agama. Dengan berkahwin juga dapat melahirkan zuriat yang halal yang mudah-mudahan menjadi khalifah di muka bumi ini.
Sejak akhir-akhir ini ramai yang berkongsi kata-kata ini di Laman Facebook.

"Aku terima nikahnya si fulanah binti si fulan dengan mas kahwinnya RM...."

Itu adalah tersurat. Apa yang tersirat? Yang tersirat ialah:

"Aku tanggung dosa-dosa si fulanah ini dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung dan aku tanggung dosa bakal anak-anak aku. Akulah orang yang bertanggung jawab dalam memberinya nafkah zahir dan batin, memberinya ilmu dunia Akhirat dan juga bertanggung jawab memegang tanganya bersama-sama berlari bertemu-Mu Tuhan. Aku juga sedar, sekiranya aku gagal dan aku lepas tangan dalam menunaikan tanggung jawab, maka aku fasik, suami yang dayus dan aku tahu bahawa nerakalah tempatku akhirnya dan malaikat Malik akan melibas aku hingga pecah hancur badanku. Akad nikah ini bukan sahaja perjanjian aku dengan si isteri dan si ibu bapa isteri, tetapi ini adalah perjanjian terus kepada Tuhan."

Berat bukan tanggungjawab seorang suami?
Berkahwin bukan semata-mata bagi nafkah zahir dan batin sahaja namun juga ilmu. Jika isteri tersalah, tegurlah jangan biarkan sampai ia menjadi barah dalam keluarga.
Jika usia sudah mencecah 20-an buatlah persediaan dari sekarang. Persediaan dari ilmu rumahtangga, ilmu agama, ilmu hendak mendidik anak-anak, ilmu segala jenis ilmu yang berkaitan supaya rumahtangga yang dibina dalam redha Allah S.W.T. Material juga perlu sedia juga baik lelaki mahupun perempuan. Paling penting restu ibu bapa. Kerana redha Allah S.W.T terletak pada redha Ibu bapa.


artikal asal dari   Fathi Yusuf & Ros Izanuri


*bila mana hati tengah sedih,rindu,pilu,xda mood nak stadi,maka tangan mata mula menari2 mencari ilmu lain yang blh di manfaatkan pada diri sendiri dan masyarakat..tempat di tuju pasti mencari  sambil telinga mendengar irama syahdu...tabahkan hati ku  Ya Allah...

No comments: